KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar menyifatkan kegagalan Nicol David dalam mempertahankan gelaran wanita Terbuka Britain kelmarin berpunca daripada tekanan yang terlalu besar untuk dipikulnya.
Katanya, semua pihak tidak boleh mengharapkan sebarang kejuaraan daripada ratu skuasy negara itu sepanjang masa biarpun prestij gelaran Terbuka Britain diakui ibarat mahkota tenis Wimbledon atau setaraf badminton Seluruh England.
Ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA di Wisma MOM, semalam, ujarnya: ‘‘Saya tidak fikir kepenatan menjadi puncanya. Nicol seorang atlet yang handal, dia pasti tahu skuasy sentiasa sejenis sukan yang mencabar dari segi teknikal, fizikal dan kemahiran.
‘‘Namun, saya rasa Nicol kini wajar menumpukan gelaran Terbuka Dunia selepas gagal di Manchester (kalah 9-7, 9-4, 3-9, 8-10, 1-9 kepada Rachael Grinham dari Australia, kelmarin). Ia kini lebih penting untuk dimenangi buat kali ketiga (selepas 2005 dan 2006).”
Terbuka Dunia akan berlangsung di Madrid, Sepanyol, bulan depan dengan pemain berusia 24 tahun kelahiran Pulau Pinang ini bakal mempertahankan kejuaraannya itu selepas menewaskan Natalie dan kakaknya, Rachael di Belfast dan Hong Kong. Sementara itu, Persatuan Skuasy Reket Malaysia (SRAM) menamakan dua pemain, Nafzahizam Adnan dan Elvinn Keo bagi acara lelaki Sukan SEA Korat berdasarkan ujian pemilihan yang berakhir Ahad lalu di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil. Mereka mengetepikan Choong Kam Hing, Kamran Khan, Valentino Bong, Asyraf Azan dan Asfar Azan sekaligus akan menyertai dua wakil wanita yang tidak perlu melalui pemilihan, Sharon Wee dan Tricia Chuah ke Korat dari 6 hingga 15 Disember ini.
Malaysia dijangka meraih dua pingat emas skuasy lelaki dan wanita (hanya acara individu yang dipertandingkan) di Korat tanpa juara bertahan lelaki, Nafiizwan Adnan yang akan ke Kejohanan Berpasukan Dunia di Chennai, India pada tarikh yang sama.
No comments:
Post a Comment