Wednesday, June 8, 2011

Darah Istihadah

Darah Istihadah ialah darah yang mengalir di luar waktu haid atau nifas. Ia juga boleh keluar sebagai kelanjutan dari haid atau nifas. Darah istihadah merupakan darah yang yang menyimpang dari kebiasaan, tabiat dan karakter wanita. Keluarnya darah istihadah kerana pembuluh darah yang pecah dan mengalirkan darah merah yang tidak berhenti hingga wanita itu sembuh dari penyakitnya.


Hukum Istihadah

Mengikut ijmak ulama, wanita yang mengalami istihadah tetap dalam keadaan suci sehingga di boleh mengerjakan sembahyang dan puasa.


Waktu Istihadah

Terdapat 4 keadaan untuk mengetahui sama ada ia darah haid, nifas atau istihadah ialah:

1. Jika wanita tersebut mempunyai tempoh haid yang teratur dan ia mengetahui perkiraan haidnya, maka ia menunggu hingga batas akhir kebiasaan haidnya kemudian bersuci dan sembahyang. Darah yang keluar setelah masa haid tersebut bererti darah istihadah.

Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Ummu Habibah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang darah. Aisyah r.a. mengatakan: 'Saya melihat tempat mandinya penuh dengan darah.' Maka, Rasulullah SAW bersabda: 'Kiralah sesuai dengan kebiasaan haidmu, lalu bersucilah dan laksanakan sembahyang.'

(HR Muslim, Abu Daud dan Nasa'i)

2. Jika wanita tersebut tidak mengetahui tempoh dan masa haidnya, namun dia boleh membezakan darah haid dan darah istihadah. Maka dia mesti melihat perbezaannya. Jika darah yang keluar bukan lagi darah haid, maka ia mesti bersuci lalu mengerjakan sembahyang.

Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Fatimah binti Abu Hubaisy datang kepada Nabi SAW sambil berkata: 'Rasulullah, aku sedang istihadah dan tidak suci, apakah aku boleh meninggalkan sembahyang?' Mendengar soalan itu, Baginda menjawab: 'Tidak. Itu hanyalah penyakit dan bukan haid. Jika haidmu datang, tinggalkanlah sembahyang. Sebaliknya jika telah berhenti, maka bersucilah kemudian laksanakan sembahyang.'

(HR Bukhari dan Muslim)

3. Jika sejak permulaan lagi istihadah sudah bercampur dengan haid dan tidak boleh dibezakan di antara keduanya. Maka ia mesti mengikuti kebiasaan haid wanita sekitarnya. Setelah itu ia mesti bersuci dan mengerjakan sembahyang. dalam ketika itu darah masih keluar ia merupakan darah istihadah.

Terdapat keterangan bahawa Nabi SAW pernah berkata kepada Hammah binti Jahsy: 'Apa yang engkau alami itu merupakan penyakit yang ditimbulkan oleh syaitan. Hitungkanlah masa haidmu selama enam atau tujuh hari, Allah Yang Maha Mengetahui berapa masa haidmu. Kemudian bersucilah. Setelah engkau merasa dirimu telah suci, sembahyang atau puasalah selama masa sucimu (sekitar dua puluh tiga hari). Semua itu sah bagimu. Lakukan hal yang sama pada setiap bulan, sebagaimana biasanya.'

(HR Abu Daud, As-Syafi'i, Ibnu Majah dan Tirmizi)

4. Jika wanita tersebut lupa kepada masa dan tempoh haidnya serta tidak boleh membezakan antara haid dan istihadah, maka para ulama berbeza pendapat mengenai hal ini. Pendapat yang paling kuat adalah wanita tersebut termasuk dalam golongan ketiga. Wallahu'alam.

Hukum Wanita Yang Istihadah

1. Wanita yang istihadah berada dalam hukum suci sehingga perkara-perkara yang diharamkan bagi wanita haid tidak berlaku baginya.

2. Wanita yang sedang istihadah boleh berpuasa, mengerjakan sembahyang, membaca al-Quran, menyentuh mushaf, melakukan sujud tilawah, sujud syukur dan lain-lain. Ini berdasarkan ijmak ulama.

3. Wanita istihadah tidak dimestikan berwuduk untuk setiap kali sembahyang. Riwayat yang memestikan berwuduk setiap kali akan sembahyang itu lemah. Bahkan, ia boleh menggunakan satu wuduk untuk beberapa sembahyang selagi wuduknya belum batal. Hukumnya sama dengan wanita suci. Bagaimanapun, sebaiknya dan lebih utama, ia berwuduk atau mandi untuk setiap kali sembahyang.

Hal ini berdasarkan hadis Aisyah r.a. yang menceritakan bahawa Ummu Habibah menderita istihadah selama 7 tahun. Ketika ia menanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW, baginda menyuruh untuk mandi. Baginda berkata: 'Ini adalah penyakit.' Kemudian, Ummu Habibah mandi setiap kali hendak sembahyang.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Kebanyakan ulama berpendapat, mencampuri isteri yang sedang istihadah itu dibolehkan selagi berlangsung di luar masa haid, sekalipun darahnya terus mengalir.

5. Wanita yang sedang istihadah juga boleh menjalani iktikaf di masjid. aisyah r.a. meriwayatkan:

'Salah seorang isteri Rasulullah s.a.w beriktikaf bersama baginda di masjid. Nampak darah dan warna kekuningan mengalir darinya dan sebuah bejana terletak di bawahnya ketika ia mengerjakan sembahyang.'

(Riwayat Bukhari dan Abu Daud)

2 comments:

Anonymous said...

assalammualaikum
saya telah datang haid selama 15hari 15malam... kemudian saya telah mandi wajib tetapi saya mengalami darah istihadah. adakah saya perlu menunggu hingga 15 hari 15 malam juga untuk mengetahui darah yang turun itu darah haid

AkuHuduh said...

bole rujuk sini tuk jawapan..

DIWANI 09