Thursday, November 1, 2007

Isu Nasional : Syor Wanita Ketua Hakim

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berharap wanita diberi peluang memegang jawatan Ketua Hakim Negara pada masa depan.

Shahrizat berkata, wanita kini mempunyai pengalaman, pengetahuan dan komitmen untuk menjadi hakim dan ahli akademik setanding lelaki.

"Saya percaya perkara itu boleh berlaku, mungkin bukan sekarang tapi satu hari nanti tidak mustahil kita melihat seorang wanita dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

"Ketika ini, 45.7 peratus peguam di negara ini adalah wanita, tapi masih tidak ramai yang dilantik sebagai hakim.

"Hanya tiga wanita berbanding 19 lelaki menjadi hakim Mahkamah Rayuan, manakala di Mahkamah Persekutuan tiada langsung hakim wanita.

"Pada peringkat Mahkamah Tinggi pula hanya 13 daripada 48 hakim adalah wanita serta lima pesuruhjaya kehakiman wanita daripada 16," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk 'Persamaan Gender-Pencapaian Masa Kini dan Cabaran Akan Datang', pada hari kedua Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 anjuran Majlis Peguam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Ulasan Sharizat ketika diminta mengulas kemungkinan seorang hakim wanita menggantikan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersara, esok, berkata perkara itu akan diputuskan pihak yang berkenaan.

(Sumber : Berita Harian, 2 November 2007)

No comments:

DIWANI 09